MTUC bimbang ekonomi global jejas negara

Source Harakah

BUTTERWORTH, 14 Okt (Hrkh) - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mempertikaikan kenyataan Kerajaan Malaysia yang masih menggangap ekonomi negara masih kukuh sedangkan semua tahu ekonomi global sedang mengalami kejatuhan.

Demikian kata Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohd semasa sidang akhbar di Pejabat Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Lektrik (E.I.W.U) Taman Inderawaseh, Perai pagi tadi.

Menurut beliau, bila ekonomi global jatuh pastinya Malaysia tidak terlepas daripada merasai bahang kegawatan dan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri tidak releven.

"Kerajaan Malaysia sewajarnya bertindak segera mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkan kegawatan yang semakin memuncak sekarang bukan mengeluarkan kenyataan yang tidak releven," ujarnya yang hadir bersama Pegerusi MTUC Pulau Pinang, Abdul Razak Abdul Hamid.

Di negara luar seperti Amerika Syarikat dan Britian, kerajaan negara itu terpaksa mengeluarkan peruntukan menyelamatkan institusi kewangan daripada bangkrap.

Sebagai sebuah negara kecil bagaimana Malaysia boleh bertahan walhal banyak eskpot negara ini bergantung pada dua negara besar itu, katanya.

MTUC katanya, begitu khuatir dalam masa terdekat banyak industri di negara ini akan ditutup sekali gus pembuangan pekerja berlaku tanpa membayar sebarang pampasan sepertimana yang berlaku pada kilang Nikko Electronic Berhad awal tahun ini.

Jesteru katanya, untuk menangani masalah tersebut, Kerajaan Malaysia harus mewujudkan tabungan untuk digunakan apabila syarikat tidak mampu membayar pampasan dan kerajaan juga disaran mengkaji semula polisi kewangan kerajaan sendiri supaya pekerja tidak terus ditindas.

No comments: