Tanyalah mengenai Eurocopter Hari Raya ini

Source Harakah

ANDA pergi ke mana Hari Raya ini? Sheih, blogger yang baru-baru ini ditangkap di bawah Akta Hasutan berpesan, sambil ziarah-ziarah Hari Raya, tanya-tanyalah siapa yang tahu mengenai syarikat pengeluar helikopter, Eurocopter yang telah memenangi tender untuk menggantikan helikopter Nuri atau Sikorsky S61A-4 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tanya-tanyalah benarkah Datuk Kamaluddin (anak Perdana Menterilah, siapa lagi!) adalah "agen rahsia" bagi pihak Eurocopter.

Tanya-tanyalah juga adakah benar urusniaga Eurocopter itu akan membolehkan Kamaluddin meraih sebesar RM250 juta setahun untuk 30 tahun akan datang.

Laporan media baru-baru ini menyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa Eurocopter telah memenangi tender Kementerian Pertahanan itu.

Beliau berkata, surat hasrat atau letter of intent (LOI) telah dihantar kepada Eurocopter untuk membeli helikopter tersebut.

??Pada masa ini Kementerian Pertahanan sedang mengadakan rundingan dengan Eurocopter mengenai spesifikasi teknikal helikopter, klausa perjanjian sebelum menandatanganinya secara rasmi dengan syarikat berkenaan,?? katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima taklimat khas di Wisma Pertahanan baru-baru ini.

Ketika ditanya mengapa syarikat itu yang dipilih, Abdullah mendakwa pemilihan itu adalah berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan serta ciri-ciri yang terdapat pada helikopter berkenaan.

Beliau menambah, sudah tiba masanya khidmat Nuri ditamatkan memandangkan usia pesawat itu yang telah lama digunakan dan pernah terlibat dalam beberapa kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa.

??Saya masih ingat mesyuarat Kabinet menetapkan bahawa helikopter Nuri itu perlu digantikan dengan segera memandangkan ia telah terlalu lama berkhidmat,?? katanya

Nuri pernah digelar sebagai "keranda terbang" berikutan begitu banyak kemalangan yang melibatkan helikopter jenis itu.

Menurut Sheih, apa yang gagal diberitahu oleh Abdullah ialah Kamaluddin adalah "agen rahsia" bagi pihak Eurocopter.

Menurut Sheih lagi, Kamaluddin juga sedang berusaha untuk memenangi tender sewa beli helikopter dari Polis DiRaja Malaysia.

Dua perkara berlaku sebelum Hari Raya, kata Sheih dalam blognya, kickdefella.wordpress.com

Pertama, Perdana Menteri bertukar portfolio dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau mengambilalih jawatan Menteri Pertahanan dari Najib manakala Timbalan Perdana Menteri pula mengambil alih jawatan Menteri Kewangan dari Abdullah.

Kedua, Perhimpunan Agung Umno ditangguhkan ke bulan Mac 2009.

Menurut Sheih, apa yang gagal dilihat oleh rakyat Malaysia ialah antara perkara pertama dilakukan Abdullah sebagai Menteri Pertahanan ialah membuat pengumuman mengenai Eurocopter yang menjadi keghairahan terkini Kementerian Pertahanan.

Di samping itu, Abdullah juga bersetuju dengan pelan peralihan kuasa yang fleksibel dan mungkin lebih awal tetapi meminta tempoh tiga bulan sehingga Mac 2009 untuk membolehkan beliau terus menjadi Perdana Menteri.

Blogger itu bertanya, adakah kedua-dua tindakan Abdullah itu didorong oleh urusniaga Eurocopter yang bermakna Kamaluddin akan meraih sebesar RM250 setahun untuk 30 tahun akan datang?

"(Adakah) dengan menangguhkan Perhimpunan Agung Umno, Abdullah boleh memastikan urusniaga itu ditandatangani sebelum beliau berundur," katanya.

Jkia benar, Sheih mengucapkan "Horey untuk Malaysia! Selamat Hari Raya dan bertanya-tanyalah tentang urusniaga Eurocopter itu ketika ziarah-ziarah Raya anda".

No comments: