Source Harakah
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - DAP menentang sebarang penyeberangan ahli-ahli Parlimen walau apa pun jua alasannya, tegas Pengerusi DAP Karpal Singh.
"Mestilah difahami dengan jelas bahawa DAP menentang sebarang penyeberangan untuk apa jua alasan," The Sun memetik penegasan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.
Malah, beliau menyifatkan sebarang penyeberangan ahli-ahli Parlimen menyertai Pakatan Rakyat (PR) adalah "sangat dikesalkan dan tidak beretika".
Beliau berkata, PR tidak sepatutnya bergantung kepada "anasir-anasir pengkhianat dan tidak setia" dari Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baru.
PR, katanya, akan berhadapan dengan risiko kehilangan sokongan rakyat di dalam pilihan raya akan datang jika ia menubuhkan kerajaan pusat dengan penyeberangan itu.
PR, katanya lagi, tidak sepatutnya bergantung kepada ahli-ahli Parlimen yang tidak setia untuk berada di dalam kerajaan. "Rakyat tidak akan menerima pengkhianatan sedemikian," tegas beliau.
Sebaliknya, kata Karpal, PR hendaklah berusaha sendiri untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menubuhkan kerajaan.
Beliau menyatakan kekesalannya kerana kerajaan tidak bersedia menggubal undang-undang anti lompat parti.
Walaupun Parti Bersatu Sabah (PBS) telah mewujudkan undang-undang anti lompat parti ketika parti itu memerintah Sabah dari 1985 hingga 1994, tetapi undang-undang itu diisytiharkan bertentangan dengan Perlembagaan.
Mahkamah juga menolak pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan yang menyatakan kerusi seseorang Adun hendaklah diisytiharkan kosong apabila ia tidak lagi menjadi ahli parti asalnya ketika bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi Adun dalam kes antara Nordin Salleh dan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1992.
Pindaan itu disifatkan bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Malaysia yang mengizinkan kebebasan berpesatuan.
Beliau mempersalahkan kerajaan BN kerana enggan meminda Perlembagaan untuk mengharamkan perbuatan lompat parti.
Beliau telah menyarankan bahawa DAP akan menyokong undang-undang anti lompat parti untuk membolehkan ia mendapat sokongan dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment