Dr M tingkat serangan ketika MT tolak PM

Source Harakah
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) - Ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) Khamis lalu dilaporkan hampir sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, orang yang mengangkatnya ke jawatan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meningkatkan lagi serangan dan kecamannya ke atas penggantinya itu.
Menurut bekas Perdana Menteri, amalan korup para pemimpin Umno terutama pemimpin tertinginya menjadi faktor yang menyebabkan rakyat begitu marah dan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.
"Sebenarnya, penglibatan pemimpin hari ini dengan rasuah, sokongannya kepada perniagaan anaknya, kuasa yang diberikannya kepada menantunya, perangai suka tidurnya yang diketahui umum, sifat ragu-ragu untuk membuat keputusan, ketidakmampuan menangani masalah, penarikan balik subsidi secara tiba-tiba, pembatalan jambatan ke Singapura, pembaziran wang sebanyak RM800 juta untuk pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang tidak digunakan di Johor Bahru, pembatalan landasan keretapi berkembar elektrik, Monsoon Cup dan banyak lagi adalah punca yang menyebabkan para pengundi menolak BN," kata beliau dalam ruangan corat-coret dalam blognya, chedet.com
Dr Mahathir berpendapat, orang-orang kampung dan rakyat kebanyakan yang berbangsa Cina secara umumnya tidaklah begitu prihatin dengan hak-hak asasi manusia atau kerajaan yang lebih liberal.
"Malah, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pun tidak dihiraukan seperti yang ditunjukkan dalam sokongan kuat kepada kerajaan sebelum ini," dakwa beliau.
Apa yang diperbualkan oleh orang-orang kampung dan rakyat kebanyakan berbangsa Cina dan India, katanya, adalah kenaikan kos hidup, peluang perniagaan yang begitu sedikit dan sudah tentu, perangai keluarga Perdana Menteri.
Mengenai tanggapan dan analisis sesetengah pihak bahawa rakyat menolak politik berasaskan kaum dalam pilihan raya lalu, bekas Perdana Menteri mempersoalkan, "mengapakah para pengundi mengundi PAS, parti Melayu 100 peratus dan DAP, parti yang dikuasai kaum Cina".
"Saya tahu ramai yang mengkagumi Barat cenderung untuk menyokong nilai-nilai mereka. Mereka cenderung untuk mentafsirkan kekalahan teruk BN berdasarkan pemikiran Barat.
"Tetapi kita orang Asia dan di Malaysia, perbezaan asas antara kaum adalah ekstrem. Apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan konfrontasi antara kaum ialah dengan membenarkan mereka menubuhkan parti berasaskan kaum dan berkerjasama antara satu sama lain," kata Dr Mahathir.
Itulah polisi BN, kata bekas Perdana Menteri sambil mendakwa ia berkesan dalam hampir setengah abad yang lalu.

No comments: