Source Harakah
Pengumuman kerajaan semalam untuk menurunkan harga runcit petrol sebanyak 10 sen merupakan satu keputusan yang didasari motif politik semata.
Tindakan kerajaan Barisan Nasional ini gagal untuk mengambil kira aspek mekanisme pasaran dan kepentingan rakyat.
Barisan Nasional meskipun menurunkan harga minyak sebanyak dua kali dalam tempoh satu bulan, ia tidak langsung memulihkan keyakinan pelabur tempatan dan asing terhadap ekonomi negara, serta mengurangkan impak peningkatan kadar inflasi, sebaliknya merugikan peruncit minyak dan pengeluar produk bahan bakar tersebut.
Keputusan kerajaan untuk menarik balik subsidi minyak hingga menyebabkan kenaikan harga secara mendadak sebanyak 41% pada 4 Jun lalu jelas meninggalkan impak yang besar ke atas pasaran tempatan.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kesan kenaikan mendadak harga minyak menyebabkan kadar inlasi mencecah 8.5%, merupakan yang tertinggi dalam tempoh 28 tahun.
Seluruh lapisan masyarakat dan industri terkejut serta terjejas oleh keputusan kerajaan yang dibuat secara terburu-buru ini.
Walaupun kerajaan cuba memulihkan keadaan ekonomi dengan menurunkan harga minyak sebanyak dua kali, namun keadaan ekonomi yang tenat kini tidak lagi dapat dipulihkan dengan sekadar menurunkan harga minyak sebanyak 10 sen sahaja.
Selain itu, keputusan kerajaan juga gagal memaparkan mekanisme kerajaan yang telus dan konsisten dalam proses menentukan kadar harga minyak.
Kenaikan dan penurunan harga minyak yang tergesa-gesa dan tidak didasari demi kepentingan rakyat mengesahkan pendapat umum bahawa pentadbiran sekarang tidak berupaya berhadapan dengan isu minyak serta ekonomi global.
Pada awal tahun ini, kita menyaksikan ketika harga minyak dunia berada pada USD100 setong, harga minyak dalam negara adalah RM1.92; manakala harga minyak dalam negara berada pada harga RM2.70 seliter semasa harga minyak dunia mencecah USD104 setong.
Namun hari ini ketika harga minyak dunia jatuh kepada USD104 setong, mengapakah kerajaan cuma menurunkan 10 sen dan harga minyak tetap melebihi harga asal sebelum kenaikan pada Jun lalu?
Sesungguhnya, keputusan kerajaan menurunkan harga minyak kali ini adalah satu lagi keputusan politik berupa gula-gula yang ingin menambat hati rakyat, tetapi tidak didasari di atas kepentingan ekonomi negara dan rakyat.
Malah Majlis Ekonomi yang ditubuhkan pada awal bulan Ogos juga sekadar komestik yang tidak mempunyai kuasa sebenar untuk mempengaruhi ataupun menyertai proses pembuatkeputusan kerajaan berkenaan dasar-dasar ekonomi yang penting.
TIAN CHUA
Ketua Penerangan Parti KeADILan Rakyat
Ahli Parlimen Batu, WP
Kenyataan Media, 25 September 2008.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment