Source Harakah
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh) - Perlantikan tokoh-tokoh yang dipersoalkan kredibiliti mereka mengukuhkan bukti bahawa kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah kerajaan yang lemah dan suka membazir, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.
Beliau berkata demikian mengulas perlantikan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai penasihat Perdana Menteri mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan perlantikan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman sebagai penasihat kementerian tersebut.
"Rakyat yang tidak berpuas hati telah pun membangkitkan pelbagai kisah ketika Shahidan menerajui pentadbiran Perlis.
"Antaranya, Majlis Perbandaran Kangar pernah disita manakala bekalan elektrik di jalan-jalan di Kangar pula pernah dipotong kerana kegagalan membayar bil," katanya.
Persoalan juga timbul, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, apa yang dilakukan oleh kumpulan pelaksana projek NCER sehingga memerlukan Shahidan dilantik sebagai penasihat Perdana Menteri mengenai projek itu.
"Adakah pegawai-pegawai pelaksana itu tidak tahu bagaimana hendak menasihat, atau tidak ada benda yang hendak dinasihatkan kerana tidak ada apa-apa pun yang dibuat atau memang mereka tak tahu apa-apa?" soal beliau.
Begitu juga dengan perlantikan Zainal Abidin yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Nibong Tebal dalam pilihan raya 8 Mac lalu.
Tidak tahu buat kerja
"Adakah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang tidak tentu arah dan hari-hari menguap di dalam pejabat kerana tidak tahu buat kerja?
"Kalau benar demikian, mengapa dilantik orang yang junior dan tidak berpengalaman seperti Zainal Abidin yang berada di kementerian berkenaan tidak sampai satu penggal setelah dinaikkan pangkat dari kedudukannya sebelum itu sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar?" Mahfuz mempersoalkan.
Sambil menyifatkan perlantikan-perlantikan itu membuktikan betapa tidak cerdiknya kepimpinan negara hari ini, beliau mengingatkan rakyat tentang bahaya kerajaan yang lemah dan suka membazir.
"Kerajaan yang lemah dan suka membazir melemahkan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabngsa kepada negara ini yang akhirnya akan mengakibatkan bencana ekonomi," katanya.
Beliau menyatakan kebimbangannya terhadap masa hadapan negara ini kerana kelemahan pentadbiran yang ada sekarang ternyata bermula dari atas.
"Kalau kepimpinan atasan tidak lemah, ia boleh memperbaiki kelemahan di bawah.
"Masalahnya, krisis yang dialami sekarang berpunca dari kelemahan di atas - dari Perdana Menteri, timbalannya, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri sehinggalah penasihat-penasihat yang dilantik tidak tentu fasal.
"Malah, penasihat-penasihat itulah yang paling lemah," kata Mahfuz.
Ganjaran kerja politik
Menurut beliau, rakyat kini mula mendakwa bahawa penasihat-penasihat itu termasuk yang bertaraf menteri itu dilantik memegang pelbagai jawatan bukan untuk melaksanakan tugas berkenaan, tetapi sebenarnya untuk menjalankan kerja-kerja politik bagi kepentingan Perdana Menteri.
"Pengurniaan jawatan-jawatan tersebut hanyalah untuk membolehkan mereka menikmati ganjaran lumayan setiap bulan sebagai membalas jasa mereka menjalankan kerja-kerja politik untuk kepentingan Perdana Menteri.
"Jika mereka yang dilantik itu tidak boleh digunakan bagi menjalankan kerja-kerja politik Perdana Menteri, sekurang-kurangnya perlantikan itu akan mengikat mereka untuk menyokong pelan peralihan kuasa yang ditetapkan Abdullah di samping memastikan Abdullah mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno dalam pemilihan Umno Disember ini," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment