Nasib Ku Li belum tentu, Abdullah pasti diundurkan


Source Harakah

Orang-orang media cukup marah jika mereka diboikot atau ditempelak akibat sikap berat sebelah, penggelapan serta memutarbelitkan isu dalam melaporkan sesuatu peristiwa.

Sikap sebegini diambil bukan sahaja terhadap orang-orang politik atau Pertubukan Bukan Kerajaan (NGO) yang tidak menyebelahi Barisan Nasional, malah kalangan orang-orang Umno yang berbeza pendapat dengan kepimpinan yang ada, turut akan dimangsakan.

Namun itulah hakikat yang berlaku terhadap Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengadakan pertemuan dengan bloggers dan media di kediamannya di Jalan Langgak Golf, dekat sini 21 September lepas.

Asalnya pertemuan tersebut dianjurkan bertujuan untuk Ku Li mendengar pendapat para bloggers dalam isu-isu tertentu untuk diketengahkan. Bagaimanapun ia bertukar menjadi sidang akhbar akibat soalan bertalu-talu dari pihak media.

Dalam pertemuan yang berlangsung hampir dua jam isu, Ku Li yang berhasrat menentang Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengupas segala persoalan politik dan ekonomi serta isu-isu dalaman Umno.

Ku Li hanya bercakap beberapa minit sahaja apabila mempersoalkan usaha Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan cabaran yang dihadapinya untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun media pro BN yang jelas menjadi alat pengampu Abdullah hanya menyiarkan pandangan Ku Li tentang Anwar, perbincangan topik-topik lain digelapkan.

Hasrat Ku Li begitu jelas, jika beliau dipilih sebagai Presiden Umno dan menjadi Perdana Menteri, beliau akan merombak keanggotaan Kabinet yang ada dan menubuhkan sebuah 'unity government' yang menggabung semua pihak.

Ku Li sedar beliau terpaksa menempuhi ranjau yang amat sukar. Namun beliau tidak pernah mengenal erti putus asa. Beliau tetap mahu mencuba walaupun pernah tewas sekali (1987) dan 'tidak layak' bertanding pada tahun 2005.

Membetulkan Umno yang sudah tersasar

Apabila ditanya media, bagaimana beliau boleh mendapat pencalonan dalam mesyuarat Bahagian Umno yang akan diadakan mulai Oktober depan, Ku Li secara sinis berkata, setakat ini Abdullah Badawi juga belum tentu mendapat pencalonan.

"Jika Dollah (Abdullah) berundur akibat desakan orang-orang Umno, soal pencalonan untuk beliau tidak timbul sama sekali," katanya.

Katanya, ada kalangan anggota Majlis Tertinggi Umno memberitahu, 'mood' ahli Umno di akar umbi terhadap Abdullah sudah tiada.

Maksudnya, sikap enggan menerima Abdullah sebagai Presiden Umno begitu ketara ditunjukkan ahli Umno sehingga desakan supaya beliau berundur kedengaran di seluruh negara.

Ku Li menegaskan beliau menawarkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno bukan untuk melawan sesiapa, beliau hanya mahu memperbetulkan Umno, BN dan negara yang sudah dibawa tersasar jauh dari landasan yang asal.

Katanya, beliau mahu 'overhaul' Umno, membawa kembali anak muda yang sudah lari daripada Umno.

Ditanya sama ada beliau mempunyai hubungan atau 'team mate' dengan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ku Li berkata, beliau tidak mempunyai pasukan khusus seperti pertandingan Umno 1987.

Menurutnya, kebetulan beliau menemui Muhyiddin ketika diundang bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri majlis berbuka puasa di Putrajaya.

Setibanya di situ, beliau mendapati selain Mahathir dan Muhyiddin, turut hadir ada sama di situ ialah bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid dan Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

"Saya tidak diundang untuk hadir ke mesyuarat, saya tidak tahu pun ada mesyuarat, jadi saya cuma hadir dalam perbincangan mereka," katanya.

Antara lain beliau diberitahu, veteran-veteran yang berkumpul tidak lain tidak bukan membincangan masa depan Umno dan negara yang semakin rosak akibat kepimpinan Abdullah Badawi.

Justeru pada ketika itu timbulnya cadangan untuk meminta Dr Mahathir membantu untuk membetulkan keadaan. Keadaan tidak boleh dibetulkan jika Mahathir bukan ahli Umno, maka dirumuskan suatu pandangan, supaya usaha dibuat untuk membawa kembali Mahathir harus disegerakan.

Halangan dalam pemilihan Umno

Masalah yang paling besar menurut Ku Li ialah halangan 'politik wang' yang sudah merajai pemilihan Umno saban tahun.

"Saya dengar calon-calon yang bertanding harus menyediakan peruntukan yang besar untuk mendapatkan pencalonan, terus terang saya katakan, saya tiada wang," katanya.

Daripada makna kata beliau, jika ada kalangan anggota Umno di peringkat bahagian yang mahu menagih wang sebagai upah mencalonkan beliau, awal-awal lagi beliau enggan dibabitkan dengan politik wang.

"Jangan rosakkan Umno dengan politik wang," katanya, sebagai satu teguran kepada semua pemimpin dan anggota Umno, jika ada antara mereka yang ketagih dengan habuan wang.

Menurut sumber lain, ada kalangan kaki kempen mendakwa, sekarang ini 'demand' anggota Umno di akar umbi begitu besar sekali.

"Kami diminta untuk menyediakan antara RM2 juta hingga RM4 juta satu bahagian," dakwa beliau.

Jika dakwaan beliau itu benar, memang Umno betul-betul hebat! Hebat yang bakal membawa parti itu melingkup tidak lama lagi.

Antara halangan yang dibangkitkan ialah peraturan 'Tataetika Ahli Umno' yang dipersetujukan oleh MT Umno pada 27 Mac lepas.

Tataetika ini jelas melarang calon yang bertanding untuk berkempen. Antara yang dicatatkan Perkara 2.1.3 Tataetika Ahli Umno menyebutkan, "Balasan' termasuklah apa-apa pemberian termasuk wang ringgit, saham-saham, konsesi, hadiah, pakej percutian, makanan/jamuan, tambang gelaran/anugerah dan perkara-perkara lain yang dinyatakan di dalam tataetika ini."

Antara lain kandungan buku tataetika setebal 23 muka surat tersebut mencakupi soal salahlaku, sogokan, rasuah, penggunaan kekerasan dan ugutan, fitnah, ejen, pelobi serta majlis pertemuan yang bertujuan untuk meraih undi.

Pada dasarnya menurut sumber, peraturan sebegini ketat untuk pemimpin yang berhasrat bertanding dalam pemilihan parti, bertujuan bagi mengelakkan Umno lebih parah.

Namun banyak pendapat kalangan Umno, kebanyakan peraturan yang dimuatkan dalam tataetika banyak menguntungkan pihak atasan yang mempunyai kuasa dalam kerajaan.

Misalnya dakwaan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato' Zahar Hashim, bahawa Abdullah melanggar tataetika parti dengan menggunakan wang JASA, Kementerian Penerangan (peruntukan kerajaan) untuk diagihkan kepada ketua-ketua Umno cawangan yang terbabit dalam pertemuan dengan beliau.

Walaupun Zahar membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), tetapi sehingga kini Abdullah tidak pernah tidak disiasat.

"Tetapi, terdapat banyak pemimpin Umno di peringkat MT dan bahagian dirujuk ke Lembaga Disiplin Umno kerana didakwa terbabit politik wang, ini tidak adil," kata Ku Li.

DEB bukan untuk orang Melayu

Tengku Razaleigh juga diajukan persoalan mengenai sikap Anwar Ibrahim mengenai Dasar Ekonomi Baru, yang penulis sifatkan ianya sebagai 'hate question' iaitu bertujuan untuk 'membelasah' ketua pembangkang itu.

Dalam soalan itu Anwar cuba dirujuk sebagai orang yang bakal menggadaikan maruah bangsa Melayu kerana hubungan akrabnya dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Apa yang mengejutkan penulis ialah jawapan Ku Li.

Menurutnya, beliau adalah antara pemimpin yang terlibat dengan usaha merangka DEB, bersama dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang ketika itu berada dalam suatu suruhanjaya.

"DEB tidak dirangka untuk orang Melayu sahaja, ianya adalah untuk semua kaum," tegas Ku Li.

Katanya, selepas berlaku Peristiwa 13 Mei 1969, pemimpin-pemimpin parti yang memerintah dan pembangkang, bekerjasama dalam permuafakatan, bagi memberikan keadilan ekonomi untuk semua kaum.

Cumanya kata Ku Li, terdapat pemimpin tertentu yang menyalahgunakan DEB untuk kepentingan politik mereka dan kroni-kroni.

"Orang Umno sendiri pun ramai yang menentang DEB, bukan dari sudut dasarnya, tetapi perlaksanaannya, kerana mereka juga tidak memperoleh sesuatu darinya," kata beliau.

Bagi penulis, apa yang disebutkan Ku Li mengenai DEB ini amat mengejutkan! Selama ini seluruh rakyat Malaysia terutamanya orang-orang Melayu ditipu bulat-bulat oleh pemimpin Umno.

Mereka mengatakan DEB dirangka untuk membantu orang Melayu dan sesiapa yang menentangnya adalah pengkhianat Melayu.

Nah! Ramainya orang Melayu, termasuk barangkali yang berada dalam parti pembangkang, tertipu dengan retorika pemimpin Umno.

Apakah selama ini Umno benar-benar memperjuangkan Melayu tulen? Apakah Umno menjadi pelindung sebenar agama Islam?

Persoalan ini sebenarnya sudah ada jawapan. Hanya mereka yang tidak mempunyai kesedaran dan menyangka Umno masih kuat sahaja yang sering tertipu.

Semua ini membuktikan Abdullah, Umno dan BN sudah tidak lagi relevan pada rakyat dan menunggu dijatuhkan bila-bila masa sahaja.

No comments: