PM perlu letak jawatan tanpa tunggu peralihan kuasa - Ku Li

KOTA BHARU, 16 Sept (Hrkh) - Seorang lagi pemimpin Umno tampil mendesak Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan tanpa menunggu peralihan kuasa Jun 2010 kerana sudah terbukti tidak mampu mengurus negara.
Anggota parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa keadaan politik negara sekarang semakin teruk dan tidak menentu.

"Mana orang yang tidak mampu memimpin berhentilah, itu aje.. Saranan saya supaya rakyat dapat cari keselesaan dalam kehidupan dan mendapat pembelaan.

"Tidak boleh lagi hendak main sana sini, ini bukan masanya. Tumpulah kepada rakyat," katanya pada persidangan media di kediaman di sini, hari ini.

Sebelum sidang media berlangsung ada wartawan dan anggota polis cawangan khas yang hadir menjangka Ku Li bakal mengumumkan sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya ia menjadi luahan kecewa terhadap Perdana Menteri.

Sebelum ini Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mahu peralihan kuasa dipercepatkan kerana tempoh Jun 2010 terlalu lama.

Ku Li yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, masalah rakyat sekarang semakin terdesak kerana harga barang keperluan harian melambung tinggi berikutan kenaikan harga minyak, Jun lalu.

"Sekarang tidak ada sesiapa yang hendak fikirkan masalah rakyat. Saya dengar banyak cerita sekarang. Ada laporan menyebut banyak duit dibawa ke luar negara dan modal pun tidak datang lagi ke Malaysia.

"Pasaran saham merudum. Nilai ringgit berbanding dengan Dollar Amerika juga jatuh teruk, pasaran eksport kita terjejas.

"Harga kelapa sawit minggu lepas RM3,600 satu tan metrik dan minggu ini sudah jatuh kepada RM2,200 setan. Rakyat susah dan keadaan ekonomi teruk," katanya.

Ditanya mengenai perletakan jawatan Dato' Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri katanya, baguslah kalau letak jawatan dan tidak terima pujukan Perdana Menteri supaya kekal di jawatan itu.

"Selepas saya lawan Dr Mahathir pada 1987 dan kalah saya meletak jawatan sebagai menteri, biar pun ditawar dengan jawatan menteri tak berpotfolio, saya tidak terima.

"Saya tidak terima kepemimpinan yang ada pada masa itu. Kalau sesiapa yang tidak setuju dengan cara dan kepemimpinan yang ada sekarang lebih baik berhenti," katanya.

Mengenai penahanan pemimpin Pakatan Rakyat dan blogger serta seorang wartawan di bawah ISA baru-baru, Ku Li berkata, beliau tidak tidak bersetuju dengan tangkapan itu.

Menurutnya ia seolah-olah satu mainan dengan menidakkan hak rakyat dengan mengurung mereka.

"ISA dibuat untuk lawan Komunis dan subversif yang boleh membawa kemudaratan kepada negara bukan di atas alasan lain. Kalau saya berkuasa saya akan bebas semua yang ditahan. Tidak boleh aniaya seseorang," katanya. - mj

No comments: